Konsep Diri Remaja
Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:
a. Perubahan pada fizikal
Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual yang mula meningkat.
b. Perubahan Emosi dan Fikiran
Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja itu.
c. Narcisma
Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.
Narcisma amat kuat wujud pada gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.
Jika narcisma ini digunakan secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.
Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.
d. Menyertai Kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran remaja telah mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial yang sama.
Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.
Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.
e. Menentang Kekuasaan
Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.
Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.
Faktor Kenakalan
Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:
Pertama : Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
Ketiga : Faktor sekolah.
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.
Keempat : Faktor Persekitaran
Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.
Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:
i) Persembahan konsert rock
ii) Pusat-pusat video game
iii) Pengguguran
iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan
v) Penyiaran gambar lucah
vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks
vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.
Rawatan Kenakalan
Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”
(Surah Al-Tiin:4)
Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”
(Riwayat Bukhari)
Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia. Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:
PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati
Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah.
Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
(Surah Al-Zukhruf:36)
Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).
Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:
a. Subhanallah
b. Alhamdulillah
c. Allahuakhbar
d. Lailahaillallah
e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim
Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.
KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus
Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”
(Surah Al-Ankabut:45)
Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”
(Surah Al-Mu’minun:1-2)
Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:
a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;
b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.
c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.
d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.
KETIGA: Kaedah Qiyamullail
Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”
(Riwayat Al-Tirmizi)
Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Bukankah Aku Tuhan kamu”
Roh-roh manusia menjawab:
“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.”
(Surah Al-A’raf:172)
Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”
(Surah Al- Anfaal: 55)
Kemahiran Keibubapaan
Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:
a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.
(Surah Al-Nahl:90)
b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.
(Surah Ali’-imran:159)
c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.
(Surah Al-Baqarah:233)
d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.
(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)
Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:
a. Model Ibu bapa Yang Salih
Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’
Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.
b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang
Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.
c. Terima Anak Tanpa Syarat
Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:
i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa;
ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;
iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;
iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan
v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.
d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak
Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.
e. Peka terhadap Pergerakan Anak
Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:
i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;
ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;
iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;
iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;
v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan
vi. Keupayaannya untuk berdikari.
Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.
f. Jangan Salah Guna Kuasa
Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga.
Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.
g. Kesabaran
Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.
Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling
Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”
Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.
Isu penting dalam kisah ini ialah:
a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;
b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan
c. Taubat orang tersebut diterima Allah.
Hidayah Allah
Hidayah Allah adalah juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:
Maksudnya:
“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
(Surah Al-Qasas: 56)
Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat
Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.
4 ulasan:
artikel yang ini sangat panjang... tapi sangat2 berguna... rasanya apabila baca seolah2 sedang mengikuti kuliah psikologi remaja... tapi yang menariknya.. artikel nie mudah di fahami dan diselaraskan dengan konsep islam.. artikel sangat2 bagus...
adakala, kita tidak sedar banyak kesilapan kita dalam mendidik keluarga mahupun diri sendiri.. membaca artikel ini boleh menjadi satu garis panduan untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada...
terima kasih cikgu sudi berkongsi ilmu.. :)
Panjanggg sangat artikel ini. Tapi saya gagahkan juga baca sampai habis. Sangat bagus dan berguna.
Apa kata dapatkan buku yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sempena hari guru 2011 yang lalu tentang pengendalian disiplin. Judulnya Pengendalian remaja di sekolah dan di rumah.
panjang sungguh jadi saya terpaksa copy paste and print dan baca sampai habis ....banyak juga yg saya tidak mampu lakukan sebagai seorang ibu dlm mendidik anak saya ....saya sering mendahului sesuatu dgn lemah lembut tetapi apabila anak enggan menerima nasihat saya mula menghukum nya dgn cara saya rampas h/phone kepunyaan nya ....perkara ini membuatkan anak saya memberontak dan menjadi lebih teruk .....dan apabila anak memberontak saya menjadi stress ...dan saya mula hilang keyakinan diri
Catat Ulasan