Rabu, 15 Oktober 2008

TIP MENGAWAL KETENANGAN DIRI KETIKA PEPERIKSAAN HAMPIR MENJELANG!!

Menjelang peperiksaan,berbagai rasa dan debar menerjah ke hati dan jiwa.Untuk itu luangkan masa seketika untuk berkongsi tip dan petua ini.......

PERASAAN cemas , gelisah atau gentar akan menjejaskan peluang untuk berjaya . Jadi perasaan adalah satu aspek penting yang harus diperhati . Cara untuk memulih dan menenangkan perasaannya ialahJangan tergila-gila belajar hanya 1 bulan hampir peperiksaan . Kegilaan yang tiba-tiba ini akan mendorong kamu menggunakan "pep pills" - ubat penahan mengantuk . Sedarlah bahawa ia merosakkan sistem saraf dan mengurangkan kecerdasan seseorang . Ia boleh membuat kamu pengsan di dewan peperiksaan kerana keletihan . Sebaliknya , hendaklah kamu mula bersedia lebih awal , belajar dengan satu sistem seperti dinyatakan di atas . Rasa cemas tidak akan timbul sekiranya nota sudah lengkap , bersih dan diulang kaji sepanjang tahun .
  • Jangan cuba berpegang kepada harapan orang ( ibu bapa dan keluarga umpamanya ) yang mungkin terlalu tinggi untuk diri kamu . Hendaklah kamu mengakui dengan kenyataan mengenai pengetahuan yang ada pada kamu dan bertindaklah di peringkat yang sesuai dengan kemampuan kamu .
  • Jangan cuba menambah atau mendapatkan banyak butir-butir baru ketika hampir waktu peperiksaan ; sebab ini akan mendedahkan kekosongan pengetahuan kamu dan seterusnya menambahkan kebimbangan dan akhirnya membuat kamu panik . Hendaklah kamu menumpukan perhatian ke atas prinsip-prinsip dan konsep-konsep am daripada mempelajari segala detail yang begitu banyak .


  • Jangan bimbang kerana gagal mengingati segala fakta yang kamu pelajari di saat peperiksaan hampir dimulakan . Hendaklah kamu faham bahawa di antara isi-isi yang kamu terlupa dapat diingati kembali asalkan perkara-perkara yang mempunyai pertalian yang tepat dapat dimuatkan dalam jawapan kamu .

  • Jangan membuang masa dengan merasai bimbang dan menyesali mengenai apa yang kamu sepatutnya telah pelajari dan betapa baiknya keputusan yang mungkin kamu perolehi sekiranya kamu telah belajar lebih kuat atau mula belajar lebih awal . Hendaklah kamu menerima apa yang patut dan boleh kamu lakukan dalam masa yang tinggal . Ambillah keputusan untuk menggunakan masa itu sepenuhnya .

  • Jangan terus membandingkan kamu dengan kawan-kawan lain yang nampaknya lebih tahu atau betapa kuatnya mereka belajar daripada diri kamu . Hendaklah kamu mengambil keputusan sendiri berapa lamakah sepatutnya kamu belajar tanpa memudaratkan kesihatan kamu sama ada jasmani atau mental .

  • Jangan membincangkan pelajaran dengan kawab-kawan ketika peperiksaan hampir dimulakan . Bila kamu dapati yang kamu cuma tahu sedikit sahaja jika dibandingkan dengan kawan-kawan kamu , ini mungkin menambah perasaan bimbang dan panik , yang mana adalah satu perkara yang terlalu mahal harganya untuk dibayar bagi butir-butir tambahan yang kamu boleh didapati . Rehatkan otak kamu dan bertenanglah buat beberapa ketika sebelum memasuki dewan peperiksaan .

  • Jangan sampai ke dewan peperiksaan terlalu awal , kerana ketegangan dan kelamaan menunggu akan menambahkan kemungkinan untuk panik . Hendaklah sampai pada waktu yang selesa untuk kamu berehat tanpa terburu-buru dan berpeluh-peluh untuk memasuki dewan peperiksaan .

  • Jangan berjaga terlalu lewat malam sebelum hari peperiksaan disebabkan kamu rasa masih banyak yang patut dipelajari . Hendaklah kamu cukup tidur kerana otak yang bekerja lebih dan badan yang penat amatlah memudahkan kamu berasa bimbang dan panik .


Sekiranya kamu rasa diri kamu mulai panik , cuba buat perkara-perkara berikut untuk mengurangkan ketegangan dan perasaan bimbang :
  • Hentikan apa juga yang sedang kamu lakukan buat seketika .
  • Beritahu diri kamu supaya bertenang dan berehat .
  • Tarik nafas panjang dengan perlahan-lahan , kemudian lepaskan ; ulangi beberapa kali .
  • Ingatlah sesuatu yang indah sewaktu menarik nafas panjang .

TIADA siapa pun yang tidak merasa cemas , gelisah , gementar dan tertekan apabila menghadapi ujian atau peperiksaan . Kesannya adalah sebahagian dari sifat semula jadi manusia

Sepatutnya , ia tidak membawa kita ke jurang putus asa dan menyerah kalah . Tidak juga kepada kebimbangan dan sakit-sakit . Sebaliknya , ia diterima sebagai perkara biasa dan menjadi pendorong untuk terus berusaha . Penawar bagi "penyakit" ini ialah :
  • Ingat dan katakan pada diri bahawa aku telah bersekolah dan belajar dari zaman kanak-kanak , hingga ke tahap yang ada sekarang . Aku telah melalui beberapa ujian . Lumrah .
  • Kesempatan untuk melepasi ujian dan rintangan kali ini , walaupun lebih mencabar , tidak harus dilepaskan dengan mudah . Tidak patut dipersiakan .
  • Pengorbanan ibu bapa yang telah dicurahkan terlalu banyak . Jadi kamu mesti tabah hati , untuk membahagiakan mereka .
  • Bukan kamu seorang yang menghadapi peperiksaan dan bukan kamu sahaja yang merasai apa yang kamu rasai .
  • Menarik nafas panjang dan dalam berulang kali .
  • Melakukan senaman ringan .
  • Sembahyang , membaca ayat-ayat Al-Quran , berzikir dan berdoa .
  • Kurangkan minuman bersusu dan makanan bergula . Lebihkan makan buah-buahan , roti , ikan dan sayur .
  • Senyum . Jadikan senyuman pakaian wajah pada setiap ketika .
  • Sembahyang , zikir dan doa .
  • Mendampingi ibu bapa , rakan karib dan guru . Cakap-cakap biasa dan pohon restu .
  • Rehat secara tidur sekejap , bersukan , bersenam dan seumpamanya .
Kemampuan untuk mengawal diri dan menjadikan rasa runsing dan cemas itu sebagai pendorong sangat penting . Jika tidak dapat dikawal , maka terancamlah peluang kamu . Oleh itu kamu tidak ada pilihan lain . Kamu tidak boleh tunduk .Teruskan melangkah dengan kekuatan dan keyakinan diri beserta doa dari ayah ibu dan bertawakallah kepada Allah.
Berusahalah sebaik mungkin.InshaAllah kejayaan akan mengiringi kamu!!
:happy::happy:

2 ulasan:

Tirana berkata...

Cikgu Mala, terimakasih untuk tips ini. Nanti saya copy dan print bagi pada anak-anak saya.

nrashikah berkata...

thanks sangat ii . Saya bersyukur sangattt krn semua tips ini insyaAllah akan membantu saya untuk exam pt3 lagi 3 hari . Selama ni saya sangat tertekan dan emosi tk terkawal