Isnin, 20 Oktober 2008

MENANGGANI KENAKALAN ANAK REMAJA

Konsep Diri Remaja

Kadangkala ibu bapa mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlaku begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka. Ibu bapa perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.

Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya. Rogers (1985) menyatakan antara perubahan nyata yang berlaku pada akhir masa remaja ialah:

a. Perubahan pada fizikal

Bagi anak lelaki didapati mengalami perubahan jelas pada jasmani di mana anggota badan kelihatan mula gempal, sasar, dan tegap. Manakala si gadis pula mula menampakkan sifat-sifat kewanitaannya seperti datang haid, buah dada membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Apabila sampai pada peringkat akhir remaja simbol-simbol daya tarikan seks mula kelihatan dan diiringi juga rangsangan seksual yang mula meningkat.

b. Perubahan Emosi dan Fikiran

Di peringkat remaja, perasaan dan fikiran anak lelaki setabil kerana mereka tidak lagi kanak-kanak. Pada zaman kanak-kanak skrip hidup hariannya ditentukan oleh ibu bapa dan kita dapati perbuatan mereka dibuat secara spontan tanpa dipengaruhi oleh fikiran dan emosi. Apabila anak melangkah ke alam remaja, ia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal tentang keindahan dunia kehidupan orang dewasa yang sukar dicapai baginya. Perubahan emosi dan fikiran ini menimbulkan kegelisahan pada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu dan untuk mengikut jejak langkah orang dewasa juga tidak berupaya. Keadaan ini menimbulkan konflik nilai dalam dirinya. Mereka mengalami rasa gembira dan kadangkala kesunyian, berkahayal dengan orang yang dikaguminya, dan cenderung mencontohi dalam pelbagai perkara, seperti cara berpakaian, cara bergaul dan cara berfikir. Orang yang dikagumi yang akan dicontohi kemungkinan terdiri dari penyanyi popular, pelakon popular, pelawak, tokoh ulamak, tokoh politik, ahli sukan atau sebagainya. Ini bergantung kepada pendedahan dan pengajaran yang diterima oleh remaja itu.

c. Narcisma

Narcisma adalah merujuk kepada ketagih cinta dan ingin dicintai untuk mendapatkan kasih sayang pada diri sendiri. Pada masa kanak-kanak, perasaan cinta dan dicintai di arah dan disandarkan kepada ibu bapa atau keluarga. Apabila anak itu mencapai remaja, perasaan narcisma ini memuncak kerana remaja mengalami rasa kesunyian (Emotional Vacumm) yang hebat kesan daripada peralihan masa untuk berdikari dan memperluaskan rakan sosial yang sesuai.

Narcisma amat kuat wujud pada gadis remaja kerana perempuan dari segi biologinya bersifat pasti di mana ia memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar dari rasa kesunyian itu. Berdasarkan faktor inilah kita dapati aktiviti bercinta dan faktor tukar pasangan di kalangan remaja adalah lumrah, tetapi gadis remaja lebih dulu terlibat dengan aktiviti bercinta berbanding dengan remaja lelaki yang sebaya dengan umurnya.

Jika narcisma ini digunakan secara positif maka remaja akan menentukan dirinya tidak mudah dieksploitasi oleh orang lain. Sekiranya narcisma di salah gunakan kerana remaja mempunyai konsep diri yang salah atau kelalaian ibu bapa memberi kasih sayang maka remaja akan memburu narcisma di luar untuk memenuhi rasa kesunyian seperti menghisap dadah, mengikut geng, berpeleseran, berzina, cinta rakan sejenis dan seumpamanya.

Dalam aktiviti narcisma ini perempuan lebih mudah menjadi mangsa dengan pujukan dan rayuan lelaki kerana ia bersifat pasif.

d. Menyertai Kumpulan

Perubahan emosi dan fikiran remaja telah mendorongkan remaja memperluaskan dan memperbesarkan rakan sosialnya. Mereka memperluaskan rakan sosial ini dengan cara menyertai kumpulan tertentu atau membentuk kumpulan baru berdasarkan umur sebaya, hobi yang sama, prinsip hidup yang sama atau taraf sosial yang sama.

Adalah perkara biasa kita lihat kelompok remaja mempunyai identiti tertentu seperti menggunakan bahasa yang anih, pakaian yang pelik, tertarik dengan aktiviti yang mencabar dan sebagainya. Penyertaan remaja dalam kelompok sama ada kelompok kecil atau besar adalah tanda perubahan yang sihat dalam pertumbuhan mentalnya. Walaubagaimana pun, jika penyertaan dalam kelompok itu disalahgunakan, maka ia akan mengheret remaja berkenaan dalam aktiviti yang bercanggah dengan agama dan undang-undang negara.

Pada masa remaja inilah kita dapati ibu bapa sering mempunyai pendapat yang berbeza dengan pandangan rakan sebaya dalam usaha memberi bimbingan dan pendidikan terhadap si anak remaja itu.

e. Menentang Kekuasaan

Orang tua-tua kita selalu mengingatkan bahawa masa remaja adalah masa pancaroba kerana remaja sedang mencari tapak untuk berdikari dan bebas dari kongkongan ibu bapa. Biasanya remaja merasa bahawa kuasa yang ada pada ibu bapa, guru-guru dan orang dewasa terlalu kuat yang boleh menghalang pencapaian cita-cita mereka. Perbezaan besar pendapat dan gaya hidup remaja dengan ibu bapa, orang dewasa dan guru akan mencetuskan permusuhan kerana remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang telah sedia bergelora. Oleh itu apabila berlaku perselisihan, remaja akan menjadi rakan sebaya mereka atau mereka bertindak nekad melakukan kejahatan untuk membuktikan kepada ibu bapa atau orang yang lebih tua bahawa mereka boleh berdikari atau mampu melakukan apa yang orang dewasa lakukan.

Sebenarnya pencarian konsep diri telah bermula sejak anak masih kecil lagi tetapi pada masa remaja mula kelihatan menonjol kerana remaja mula pandai belajar berfikir dan menggunakan emosinya hasil daripada interaksi dengan dunia luar, iaitu ibu bapa, rakan sebaya dan persekitaran. Masa remaja sendiri penting bagi perkembangan konsep diri kerana pada masa inilah remaja mengalami proses pemurnian dan sekaligus mengalami perubahan. Bagi kebanyakan remaja, proses pemurnian konsep diri berjalan lancar, tetapi mereka yang jauh menyimpang dari pemurnian itu, pertumbuhan hidupnya akan menghadapi masalah, iaitu manusia yang kotor peribadinya.

Faktor Kenakalan

Berdasarkan pandangan Islam dan sokongan teori psikologi kaunseling barat, punca kenakalan remaja boleh dibahagikan kepada empat faktor:

Pertama : Faktor keluarga

Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;

a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan dhaif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.

b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.

c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.

d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.

e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.

Kedua : Faktor Peribadi Yang Kotor.

Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional yang mewakili nafsu kehaiwanan, hasil daripada pendendam dan pengalaman yang diterima sejak kecil. Peribadi yang kotor mungkin telah bermula sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain-lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

Ketiga : Faktor sekolah.

Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:

a. Disiplin sekolah yang longgar.

b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.

c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

Keempat : Faktor Persekitaran

Faktor persekitaran adalah merujuk kepada peranan masyarakat, multi-media dan pusat-pusat hiburan yang menyediakan pelbagai produk yang boleh menggalakkan dan meningkatkan rangsangan seksual.

Aktiviti faktor persekitaran yang boleh merosakkan akhlak manusia ialah:

i) Persembahan konsert rock

ii) Pusat-pusat video game

iii) Pengguguran

iv) Pergaulan bebas lelaki dan perempuan

v) Penyiaran gambar lucah

vi) Penubuhan pusat-pusat hiburan yang berunsur seks

vii) Aktiviti simbol seks seperti pertandingan ratu cantik dan pertunjukan fesyen wanita.

Rawatan Kenakalan

Persoalan yang timbul kepada ibu bapa atau pihak berkuasa kerajaan ialah apakah kaedah terbaik yang digunakan dalam Islam bagi mengatasi kenakalan di kalangan remaja. Dalam Islam kita dapati bahawa Allah telah menurunkan dua puloh lima Rasul bertujuan membimbing dan membantu manusia supaya hidup mengikut fitrah. Wawasan agama Islam diturunkan adalah untuk membentuk akhlak manusia sebagai usaha meneruskan kesinambungan fitrah kewujudan manusia. Akhlak mulia adalah perasaan semula jadi manusia (fitrah). Allah telah berfirman:

Maksudnya:

Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaiknya.”

(Surah Al-Tiin:4)

Ketika menjelaskan perkara yang sama Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Setiap anak yang dilahirkan adalah putih bersih, maka terpulanglah kepada kedua ibu bapanya untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya.”

(Riwayat Bukhari)

Sejarah Rasulullah s.a.w. membebaskan penduduk arab Jahiliyah daripada kongkongan dan belenggu nafsu kehaiwanan memberi satu pengajaran penting tentang pembentukan akhlak manusia. Antara kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah program bina insan dan kemahiran keibubapaan. Kaedah bina insan ini meliputi:

PERTAMA: Kaedah Pendidikan Hati

Sebagaimana kita ketahui bahawa dalam diri manusia terdapat dua naluri yang berlainan sifatnya yang selalu bersaing untuk mempengaruhi tabiat manusia. Dua naluri itu bersaing untuk menunjuk dan mempengaruhi hati. Imam Ghazali menyatakan hati dalam tubuh manusia diibaratkan sebagai Maharaja yang mengarah dan mengawal tabiat manusia. Manakala Frued dalam teori kaunselingnya menyatakan “hati dalam diri menusia dikenali sebagai ‘Super ego’”. Dia menjadi perantaraan seolah-olah ‘Laluan Sutera’ (Silk road) yang bertindak sebagai pembuat keputusan tabiat manusia sama ada baik atau buruk, betul atau salah.

Penemuan Frued itu adalah menyokong pendapat yang telah lama dikemukakan oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Sesungguhnya dalam jasad manusia itu terdapat seketul daging apabila baik ia, maka baiklah seluruh badan. Jika ia rosak maka rosaklah seluruh badan. Itulah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hati itu sesuatu yang ada di dalam dada yang berbentuk zat (bukan material). Ia harus diisi dengan sesuatu. Bila Allah mengisinya, maka orang itu menjadi baik. Jika syaitan mengisinya, orang itu menjadi jahat. Oleh itu apabila kita berzikir bererti hati kita diisi dengan Allah, sentiasa bersama Allah dan tidak memberi tempat langsung kepada syaitan mempengaruhinya. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Qur’an yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya) lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”

(Surah Al-Zukhruf:36)

Ternyata bahawa pendidikan hati secara berzikir sepanjang masa adalah kaedah berkesan untuk menggilapkan hati supaya bebas dari gangguan syaitan. Allah telah memberi jaminan bahawa orang yang bersih hatinya (surah Asy-Syams: 9-10).

Zikir-zikir yang paling baik diamalkan ialah lafaz:

a. Subhanallah

b. Alhamdulillah

c. Allahuakhbar

d. Lailahaillallah

e. Walahaulawalaquwatailla billahilaliyulazim

Dalam Islam. Lima zikir ini dikenali sebagai “Albaqiyyatussholihat’ dimana amalannya boleh memberi pahala yang berterusan di akhirat. Pembersihan hati amat penting kepada manusia untuk membentuk keinsafan dan kesedaran diri supaya berlaku jujur, membuat baik kepada dua ibubapa, memelihara kesucian diri, kasih sayang dan mendekati kepada aktiviti terpuji yang lain.

KEDUA: Kaedah Menghayati Ibadat Khusus

Ibadat khusus seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji yang difardhukan kepada umat Islam bertujuan melatih dan menggilap manusia supaya kekal dalam kaedah fitrah. Diantara ibadat khusus ini, sembahyang merupakan ibadat yang terpenting dalam pembentukan akhlak manusia. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya sembahyang itu boleh mencegah seseorang dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah Al-Ankabut:45)

Manakala dalam ayat yang lain pula, Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman iaitu mereka yang khusyu’ dalam sembahyang.”

(Surah Al-Mu’minun:1-2)

Ibadat sembahyang dianggap senjata terpenting dalam pembentukan akhlak manusia berdasarkan keterangan berikut:

a. Rasulullah s.a.w. menerima sendiri perintah sembahyang fardhu ketika mengadap Allah pada masa Israk-Mikraj. Ibadat lain hanya diterima melalui perantaraan Malaikat Jibril;

b. Rasulullah s.a.w. mensifatkan sembahyang adalah tiang agama. Apabila seseorang tidak menunaikan sembahyang bererti orang lain tidak dapat membezakan seseorang itu Islam atau kafir. Keadaan ini memberi ruang kepadanya melakukan perbuatan keji tanpa segan silu.

c. Rasulullah s.a.w. telah berpesan bimbinglah akhlak anak sejak kecil dengan cara membantu dan melatih anak bersembahyang bila ia berumur tujuh tahun. Oleh itu apabila anak mencapai umur 10 tahun dan masih kelihatan enggan dan degil untuk mendirikan sembahyang maka pukullah anak itu dengan tidak mencederakannya atau membahayakannya.

d. Sembahyang adalah sebahagian daripada zikir. Berdasarkan faktor inilah ibadat sembahyang difardhukan disepanjang masa sama ada kita sihat atau sakit.

KETIGA: Kaedah Qiyamullail

Qiyamullail adalah merujuk kepada amalan ibadat yang dibuat di sepanjang malam atau separuh malam dengan mengerjakan ibadat tertentu seperti sembahyang sunat, berzikir, bertahlil, membaca al-Quran dan beristighfar. Ibadat ini merupakan amalan sunat bagi individu yang mampu melaksanakannya. Program Qiyamullail amat berkesan ke arah peningkatan ketaqwaan seseorang. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya:

“Kerjakanlah solat malam, sebab itu adalah kebiasaan orang-orang soleh dahulu sebelum daripada kamu, juga satu jalan untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhan-mu, juga sebagai penebus keburukan-keburukanmu, pencegah dosa serta dapat menghalaukan penyakit dari badan.”

(Riwayat Al-Tirmizi)

Melalui penjelasan di atas menunjukkan program bina insan amat penting kepada anak-anak dan ibu bapa sendiri untuk menjamin kesinambungan fitrah. Sebenarnya manusia telah membuat perjanjian dengan Allah untuk taat kepada-NYA adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Bukankah Aku Tuhan kamu”

Roh-roh manusia menjawab:

“Benar,(Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi.”

(Surah Al-A’raf:172)

Kesan dialog perjanjian ini ialah manusia wajib mentaati dan beribadat kepada Allah, kerana itulah cara untuk meletakkan taraf manusia di sisi Allah iaitu sebagai khalifah Allah. Allah mensifatkan manusia tidak beriman atau tidak mahu beribadat kepada Allah adalah sama seperti binatang yang buruk (hidup melata) di atas muka bumi, Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya sejahat (Makhluk) yang melata di sisi (hukum dan ketetapan) Allah ialah orang-orang yang kafir (yang degil dengan kekufurannya) sebab itu mereka tidak (mahu) beriman.”

(Surah Al- Anfaal: 55)

Kemahiran Keibubapaan

Al-Quran dan Hadis telah memberi garis panduan umum berhubung dengan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan anak-anak. Ibu bapa adalah pemimpin dalam rumahtangga. Sebagai pemimpin dalam rumahtangga, mereka perlu mengetahui dan menguasai kemahiran tertentu. Antara panduan kemahiran keibubapaan yang digariskan oleh Islam ialah:

a. Ibubapa hendaklah berlaku adil, menjaga kebajikan dan suka memaafkan ahli keluarganya.

(Surah Al-Nahl:90)

b. Bersikap lemah lembut dan memberi pertolongan dan bimbingan. Kalau kekerasan digunakan, maka orang akan menjauhkan diri daripada kita.

(Surah Ali’-imran:159)

c. Ibubapa jangan menjadi kecewa dengan tingkahlaku anaknya dan anak pula jangan menjadi sengsara kerana perbuatan ibu bapanya.

(Surah Al-Baqarah:233)

d. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya.

(Riwayat Al-Tirmizi dan Al-Hakim)

Berdasarkan pandangan Islam dan pendapat ahli psikologi kaunseling barat, kemahiran keibubapaan yang perlu dikuasai oleh ibu bapa ialah:

a. Model Ibu bapa Yang Salih

Ibu bapa yang salih adalah merujuk kepada ibu bapa yang taat menghayati ajaran Islam. Ibu bapa yang salih adalah model terbaik untuk memberi pendidikan agama kepada anak-anak. Zakiah Darajat (1983) menyatakan: ‘yang dimaksudkan dengan didikan agama bukanlah pendidikan agama yang diberi oleh guru-guru di sekolah sahaja. Apa yang penting adalah penanaman jiwa agama yang dimulai dari rumahtangga, semenjak anak masih kecil dengan cara membiasakan anak dengan tingkahlaku dan aktiviti yang baik. Walau bagaimanapun, amat dikesalkan sekali terdapat ibu bapa yang tidak mengerti ajaran agama yang dianutinya, bahkan ramai pula yang memandang rendah ajaran agama itu malah ajaran agama tidak dilaksanakan langsung. Apabila tidak mengenali ajaran agama, maka lemahlah hati nuraninya. Jika hati nuraninya lemah, kawalan hatinya juga lemah.’

Ibu bapa yang salih adalah ibu bapa yang cemerlang. Maka ibu bapa perlu mengambil daya usaha untuk mengadakan secara sendirian program bina insan dari masa ke semasa dalam rumahtangga. Adalah menjadi perkara yang rumit apabila anak telah menjadi jahat tabiatnya barulah ibu bapa sibuk ke sana ke mari untuk mencari rawatan. Untuk menjauhi anak menjadi jahat tabiatnya maka ibu bapa hendaklah membiasakan dan melatihkan anak mengamalkan sifat-sifat terpuji seperti tolong menolong, beramah, jujur, menghormati ibu bapa atau orang tua, kasih sayang, berjimat cermat, malu, membuat kebajikan dan sebagainya.

b. Mendisiplinkan Anak Dengan Kasih Sayang

Disiplin adalah merujuk kepada kaedah untuk melatih dan mempastikan anak mematuhi peraturan tertentu. Disiplin bukanlah bermakna menggunakan kekerasan. Satu kesilapan besar ibu bapa yang mendisiplinkan anak dengan memaki hamun, cacian, kutukan dan kekerasan kerana perbuatan itu dianggap mendera anak secara mental, fizikal dan akan merendahkan harga diri anak. Cara paling baik mendisiplinkan anak ialah dengan kasih sayang. Ibu bapa perlu secara tegas memberitahu anak bahawa ibu bapa lebih merasa senang hati, gembira, ceria dan sukacita jika anak melakukan sesuatu perkara positif. Anak juga perlu dilatih membuat kebajikan, dan pada masa yang sama ganjaran atau pujian perlu diberi bila anak membuat kebaikan sebagai usaha memperkukuhkan tingkah laku positif.

c. Terima Anak Tanpa Syarat

Walau si anak jahat sekalipun, ibu bapa wajib memberi bimbingan dan menjaga kebajikannya. Terdapat ibu bapa yang menghalau anak, tidak mengaku anak atau mencederakannya apabila anak itu melakukan kejahatan. Tindakan ibu bapa ini adalah bercanggah dengan Islam kerana hubungan nasab antara ibu bapa dengan anak masih ada. Kesediaan anak pulang menemui ibu bapa membimbingnya ke arah jalan yang benar. Ibu bapa yang cemerlang adalah ibu bapa yang mengadakan sendiri kaunseling terhadap anak yang bermasalah. Langkah kaunseling itu boleh di buat dengan cara:

i) Wujudkan suasana akrab dan mesra supaya anak tidak merasa takut untuk meluahkan perasaan kepada ibu bapa;

ii) Minta si anak memberi penerangan dan penjelasan tentang latarbelakang masalah yang berlaku;

iii) Mendengar dengan penuh minat penjelasan anak dan sekali sekala mencelah untuk mendapatkan gambaran dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh anak;

iv) Meminta anak memberi pendapat sendiri bagaimana cara untuk mengatasi masalah itu dan cadangan yang ia mampu untuk melaksanakannya; dan

v) Jika didapati anak telah celik akal atau menyesal di atas kesalahannya, ibu bapa boleh meminta anak membuat ikrar atau bertaubat tidak melakukan lagi perbuatan yang tidak diingini itu.

d. Memenuhi Masa Lapang Bersama Anak

Ketagih terhadap kerjaya atau pekerjaan sehingga mengabaikan kebajikan sosial keluarga adalah bercanggah dengan ajaran Islam. Ibu bapa apabila sudah tua memerlukan pertolongan ihsan anak dan disebalik itu juga anak ketika masih kecil amat memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu bapa. Keinginan anak untuk bercakap-cakap, bermesra dan bermain bersama dengan ibu bapa seolah-olah anak menghulurkan tangan bagi meraih kasih sayang. Apa yang penting ialah kualiti masa yang diperuntukkan. Kesempatan terbaik bagi ibu bapa untuk memenuhi masa lapang bersama anak ialah sembahyang berjemaah, makan bersama, membaca al-Qur’an bersama, bersukan bersama, dan sebagainya. Hubungan akrab ibu bapa dan anak akan memudahkan anak taat perintah ibu bapa, kerana telah wujud perasaan saling hormat antara satu sama lain.

e. Peka terhadap Pergerakan Anak

Ibu bapa perlu bijak membaca setiap pergerakan anak. Simbol atau isyarat tertentu boleh memberi gambaran tahap perkembangan anak. Tingkah laku anak yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa ialah:

i. Rakan sebaya anak dan aktivitinya;

ii. Fesyen pakaian, rambut, kasut dan keadaan fizikalnya;

iii. Tingkah laku non-verbalnya seperti keceriaan, kesedihan, pendiam dan sebagainya;

iv. Kemampuan anak membezakan perkara yang baik dan buruk;

v. Siapakah lebih berpengaruh sama ada ibu bapa atau rakan sebaya terhadap dirinya; dan

vi. Keupayaannya untuk berdikari.

Kemahiran ini amat penting untuk ibu bapa kuasai supaya tingkah laku mereka tidak terbatas menjadi tabiat jahat.

f. Jangan Salah Guna Kuasa

Dalam proses pertumbuhan dan pembesaran, anak memerlukan rasa selamat, aman dan rasa di terima dalam keluarga.

Dalam pergaulan seharian, kadang kala timbul pertengkaran diantara ibu bapa dengan anak kerana masing-masing cuba mempertahankan diri atau mencari siapa yang menang. Dalam hal ini ibu bapa perlulah mengelakkan menggunakan kuasa veto untuk mencari kemenangan, kerana ia bersifat lebih positif dan menambahkan lagi penghormatan anak terhadap ibu bapa. Ibu bapa hendaklah berbincang dan memberi alasan-alasan yang munasabah secara baik mengapa ibu bapa menolak sesuatu permintaan anak. Penyalahgunaan kuasa ibu bapa terhadap anak menyebabkan anak membuat tanggapan bahawa kehadirannya dalam keluarga adalah tidak dikehendaki dan tidak berguna.

g. Kesabaran

Satu lagi kemahiran yang perlu ada bagi ibu bapa ialah bersabar. Tiap-tiap anak walaupun dalam satu keluarga, mempunyai personaliti yang unik dan berbeza-beza. Ibu bapa tidak memperolihi faedah dengan mencaci, memarahi dan mengutuk anak kerana anak tidak dapat membaca dan memahami kehendak ibu bapa. Dalam Islam, kesabaran adalah salah satu tanda beriman.

Silap Memberi bimbingan Dan Kaunseling

Abu Said al-Khudri meriwayatkan satu kisah yang diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Diriwayatkan pada zaman dahulu kala terdapat seorang yang paling banyak dosanya kerana telah membunuh seramai 99 orang. Dia mahu bertaubat dan mencari seseorang yang boleh menerangkan hukum bolehkah dia bertaubat. Dia telah menemui seorang pendeta dan bertanya bahawa dia sudah membunuh manusia seramai 99 orang, bolehkah ia bertaubat?. Pendeta itu lantas menjawab ‘tidak boleh’. Maka pendeta itu dibunuhnya menjadikan mangsanya seramai 100 orang. Kemudian dia mencari lagi orang yang paling alim dan ditunjukkan orang alim itu ia sudah membunuh 100 orang, maka masih bolehkah ia bertaubat. Orang alim itu menasihatinya “pindahlah kamu ke kampong Anu kerana penduduknya menyembah Allah dan kamu sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kamu kembali lagi ke kampong kamu kerana penduduknya jahat.”

Maka berangkatlah orang itu ke kampong Anu. Dipertengahan jalan dia meninggal dunia. Maka bertengkarlah dua Malaikat iaitu Malaikat Rahman dam Malaikat Azab sama ada untuk dikategorikan orang baik atau jahat. Malaikat Rahman menyatakan si mati sudah bertaubat, manakala Malaikat Azab pula berkata si mati tidak ada amal kebajikan. Kemudian turun malaikat lain untuk menjadi orang tengah dengan cara mengukur jarak jauh kampung asalnya dengan kampung Anu. Keputusanya didapati orang itu mati berhampiran dengan kampung Anu. Maka ia dimasukkan sebagai seorang ahli Syurga.

Isu penting dalam kisah ini ialah:

a. Kesilapan memberi bimbingan akan mempengaruhi perasaan seseorang sehingga pendeta dibunuh kerana gagal menghilangkan gelojak emosinya atau perasaan marahnya;

b. Bergaul atau tinggal di kawasan orang-orang beriman cara berkesan memulihkan akhlak; dan

c. Taubat orang tersebut diterima Allah.

Hidayah Allah

Hidayah Allah adalah juga faktor penting mempengaruhi pemulihan dan kemurnian akhlak seseorang. Nabi Nuh a.s. gagal memujuk isteri dan anaknya memeluk Islam. Begitu juga Rasulullah s.a.w. gagal memujuk bapa saudaranya Abu Talib kembali ke pangkuan Islam. Allah berfirman:

Maksudnya:

“Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam) tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

(Surah Al-Qasas: 56)

Walau bagaimanapun kita lihat Saidina Umar berjaya memeluk Islam apabila mendengar ayat-ayat

al-Qur’an, walhal Umar sebelumnya terkenal dengan perangai jahiliyahnya.

Manusia adalah sebaik-baik kejadian, berakal, selalu berfikir, menyelidik dan menetukan keputusan pemikiran baik, maka baiklah perbuatannya. Tetapi bila jalan pemikirannya salah, maka akan salahlah perbuatannya. Orang yang baik dan benar jalan pemikirannya maka orang itu dikatakan mendapat hidayat dari Allah. Maka apabila salah jalan pemikirannya hingga melakukan kejahatan maka ia tidak mendapat petunjuk Allah. Oleh yang demikian ibu bapa hendaklah selalu berdoa kepada Allah untuk mendapatkan petunjuk Allah selain daripada mengamalkan suruhan Allah yang lain.

Mendidik dan membimbing anak bukanlah perkara mudah. Ibu bapa hendaklah terus menerus tanpa berputus asa dalam membentuk akhlak anak. Langkah penting bagi ibu bapa dalam meneruskan kesinambungan fitrah akhlak anak ialah memberi pendidikan agama bermula sejak kecil lagi. Langkah ini bagi menjamin supaya penerusan akhlak fitrah tidak terencat apabila ia menempuhi alam remaja. Walaupun terdapat sedikit kelemahan dalam menguasai kemahiran dan keibubapaan tetapi dengan adanya didikan agama yang kukuh, maka anak itu mampu menepis naluri kehaiwanan yang cuba mempengaruhinya atau sekurang-kurangnya boleh menjauhi anak dari menjadi jahat tabiatnya. Oleh itu ibu bapa perlu kembali kepada tradisi asal dalam membentuk peribadi anak seperti yang diamalkan oleh Rasul-rasul, Nabi-nabi dan para Wali di mana mementingkan pendidikan agama sebagai penerus kesinambungan fitrah kejadian manusia. Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang

Kena Tag......Cikgu Zam bagi tugasanlah pulak!!

Salam...untuk semua.
Minggu ni minggu yang paling sibuk untuk saya.
Bermula dari hari Jumaat menziarahi dan memantau perkembangan kakak sepupu yang dimasukkan di GH P.Pinang kerana menjalani pembedahan jantung dan terus tidak sedarkan diri......(koma)dan masih dalam situasi yang sangat kritikal,
....hari ini mesyuarat konvokesyen untuk murid pra sekolah,mengadakan latihan untuk konsert akhir Hari Anugerah pada setiap petang untuk latihan tarian tradisional..peperiksaan akhir dan tanggungjawab sebagai setiausaha Rukun Tetangga..hinggalah mendapat tag dari cikgu zam yang memerlukan jawapan tulus dari saya.Terima kasih cikgu zam!!

Jawapan untuk cikgu zam.

... Buat Cikgu Zam dan pengunjung sekalian ..harap berpuas hati ngan jawapan dariku...

1. The age you’ll be on your next birthday:
45 tahun... baru je sambut ulangtahun pada 11 oktober yang lepas..dah masuk asar dah..sendiri mau sedar....

2. Place you want to travel to:
Teringin sangatt mengerjakan fardhu haji di Tanah Suci secepat yang boleh...

3. Your favorite place:
Taman bunga,nurseri bunga dan tepi pantai

4. Your favorite food:
Ayam masak kicap dan laksa

5. Your favorite pet:
kucing dan ikan peliharaan.

6. Favorite color combination:
Biru & putih...

7. Favorite piece of clothing:
Pakaian yang kemas dan menutup aurat..

8. Your all time favorite song:
Lagu sentimental dan nasyid

9. Favorite TV show:
casa impian..landskap.

10. First name of your significant other/crush:
maladesa

11. Which town do you live in:
Bayan Lepas..berdekatan dengan Airport dan Kompleks Haji

12. Your screen name/nickname:
mala.

13. Your first job:
Guru Tadika...gaji permulaan cuma RM 500 dan bersyukur sangat-sangat masa tu dan gaji sebanyak tu dah kira banyak sangat dah.....

14. Your dream job..
Masa kat sekolah dulu bercita-cita nak jadi inspektor polis ataupun pelukis...tapi sebab bonda saya pun cikgu..jadi selepas ambil stp terus didorong masuk ke maktab..maktab perguruan lembah pantai (1983-1985)...dah senior sangat dah..

15. One bad habit that you have:
Asyik bekerja hingga lupa makan minum...

16. Worst fear:
citer sedih...

17: Things you’d like to do before you die:
Melihat anak-anak dan anak didik berjaya dalam kehidupan...

18. The 1st thing you’ll buy if you get $1,000,000:
Nak beli tanah untuk wakaf dan bina rumah untuk anak-anak yatim...

19. Your husband/wife:
Encik Tajuddin...pegawai perikanan di Pusat kuarantin dan kesihatan ikan Jab.Perikanan PP.
{perkahwinan yang dijodohkan oleh orang tua-tua dah hampir 25 tahun melayari alam rumahtangga dan bersyukur sangat mendapat suami yang kuat beribadat,berdisiplin dan mempunyai wawasan hidup yang tinggi.,penyayang dan sentiasa besederhana dalam setiap segi..)

20. Tagged anyone?
-Tirana
-LiyaAnuar

Ha...lepas ini tolong jawapye!!



Sabtu, 18 Oktober 2008

Pengaruh warna Mengikut Hari .


HARIWARNA
ISNINPUTIH
SELASAPINK / VIOLET
RABUBIRU
KHAMISKUNING / OREN
JUMAATHIJAU
SABTUMERAH
AHADHITAM



Dengan menggunakan beberapa peralatan canggih seperti spectrum analyzer, kita dapat menentukan vibration visual light yang tersebar di dalam atmosfera dalam sesuatu hari malah dalam sesuatu waktu dan keadaan.

Hasil daripada kajian ini, berikut ialah beberapa contoh penemuan saintifik hasil kajian terhadap warna yang resonan terhadap sesuatu hari. Penemuan ini diterangkan dalam bentuk Human Physiology.

Isnin

Warna putih adalah warna perangsang Kelenjar Pine dan Kelenjar Pitutary. Warna putih akan diserap oleh saraf sekiranya tubuh berada dalam keadaan hening. Salah satu cara untuk mendapatkan keheningan ialah dengan tidur awal. Mereka yang tidak mendapat waktu tidur yang betul akan menjadi lemah semangat, letih dan tidak bersedia menghadapi hari Isnin. Biasanya mereka yang tidak mendapat warna perangsang ini akan merasa malas untuk ke tempat kerja setiap hari Isnin.

Jika kita mendapat tidur yang mencukupi, hari Isnin sepatutnya ialah hari yang paling sesuai untuk mencetuskan idea baru, merangsang semangat dan melahirkan keazaman yang baru. Isnin ialah hari terbaik untuk menyelesaikan segala masalah yang tertunggak kerana penyelesaian pada hari Isnin adalah lebih kreatif dan efisyen pada hari ini.
Bunga warna putih jauh lebih mekar pada hari Isnin berbanding hari lain. Pokok bunga putih yang ditanam pada hari yang lain biasanya sukar untuk hidup atau berbunga tetapi masalah ini boleh diatasi sekiranya ia ditanam pada hari Isnin.

Rawatan yang sesuai dijalankan pada hari Isnin ialah penyakit seperti lemah semangat, kelesuan, hilang keyakinan diri, halusinasi, pelupa, epilepsi, amnesia (nyanyuk) dan beberapa penyakit lain yang berkaitan dengan Kelenjar Pineal dan Kelenjar Pitutary. Mereka yang mendapatkan rawatan seperti yang dinyatakan di atas didapati akan lebih cepat sembuh berbanding dengan hari lain, Insya Allah.

Selasa

Mereka yang mengalami migrain akan merasa kelegaan setiap hari selasa.

Thalamus berperanan menjaga kasih sayang dan penghayatan. Hari ini ialah hari yang paling sesuai untuk beremosi, meluahkan perasaan kasih sayang kepada pasangan masing-masing. Ini juga adalah hari yang sesuai untuk mengembara atau bermusafir ke destinasi yang jauh kerana masalah tersesat atau keletihan ketika sedang mengembara diimbangi dengan tahap penghayatan yang tinggi pada hari ini.

Dengan berpakaian pink, kuasa pujukkan terhadap anak atau pelajar yang degil bertambah kuat. Begitu juga pujukan terhadap pesakit atau orang yang ingin membunuh diri. Elakkan memakai pakaian merah untuk memujuk mereka kerana mereka akan menentangnya dengan serta merata dan akan meneruskan hasratnya untuk melawan atau membunuh diri dengan sekelip mata.Adalah disarankan agar anggota bomba perlu menukar pakaian ke warna pink sebelum memujuk orang yang mahu membunuh diri.

Rawatan yang sesuai dijalankan pada Selasa ialah migrain, Attention-Deficit / Hyperactivity Disorder ADHD (kanak-kanak bermasalah) atau yang berkaitan dengan bahagian otak Thalam.

Rabu

Warna biru ialah warna perangsang kelenjar Tyroid. Biru ialah warna yang menjadikan gelombang dalam bentuk bunyi lebih resonan. Pada hari Rabu didapati kicauan burung lebih merdu (resonan dan bermomentum, tidak terputus-putus garisan gelombangnya).

Pada hari Rabu, didapati paras hormon thyroxine yang dirembeskan oleh Kelenjar Tyroid berada pada tahap optimum. Paras thyroxine yang optimum menjadikan segala yang dihasratkan oleh hati dapat diluahkan dengan berkesan melalui kata-kata. Oleh itu, hari rabu ialah hari yang paling sesuai untuk berucap, berkata-kata, berhujah, bersidang, bermesyuarat, berpidato dan sebagainya.

Berbanding dengan hari yang lain, penyakit yang berkaitan dengan Tyroi seperi goiter (beguk), tongsel, penyakit kerongkong dan sebagainya akan mudah pulih sekiranya mula dirawat pada hari Rabu.

Khamis

Warna kuning ialah warna rangsangan sistem penghadaman dan warna oren ialah warna kesuburan, hormon dan sistem reproduksi .

Kemuncak warna kuning ialah sepanjang siang hari. Pada hari ini dinasihatkan agar kita tidak makan terlalu banyak pada waktu siang untuk memberi peluang sistem penghadaman menjalankan fungsi dengan sepenuhnya. Sistem penghadaman yang amat bertenaga pada hari ini sesuai untuk menghadamkan segala sisa makanan di dalam tubuh untuk menjadi zat dan tenaga yang amat diperlukan
Pada hari Khamis, asid folik yang amat sukar dihasilkan pada hari biasa didapati dapat dihasilkan dengan banyak dalam tubuh. Bagi mereka yang berdiet pada hari Khamis, didapati kandungan urik asid, lemak dan protein dipecahkan dan ditukar menjadi tenaga dalam kuantiti yang banyak.

Warna oren merangsang sistem kesuburan lalaki dan wanita. Oleh itu, hari khamis ialah hari yang terbaik untuk merancang zuriat yang sihat.

Pada hari Khamis, penyakit yang berkaitan dengan sistem penghadaman dan sistem reproduksi mudah dirawat dan mencapai tahap penyembuhan yang pantas berbanding apabila ia dirawat pada hari yang lain.

Jumaat

Hijau ialah tahap vibration yang menyamai tenaga yang merangsang fungsi Jantung dan Paru-paru.

Pada hari Jumaat, didapati aktiviti klorofil sangat aktif dan membebaskan oksigen pada tahap yang paling maksimum. Kemuncak aktiviti klorofil berlaku pada waktu tengah hari iaitu sejam setelah matahari tergelincir ke barat (sejam setelah solat Jumaat).

Hari Jumaat ialah hari yang sesuai untuk menjalankan senaman pernafasan, bersenam dan beriadah di taman-taman bunga. Senaman pernafasan yang dijalankan pada hari Jumaat akan member kesan menakjubkan pada hari ini berbanding hari-hari yang lain.

Biasanya pada hari-hari yang lain kita akan merasa lemas apabila berada dalam himpunan orang ramai. Tetapi amat menghairankan kerana setika di dalam masjid pada waktu solat Jumaat didapati kita tidak merasa lemas atau rimas walaupun saling berhimpit-himpit dengan kesesakkan.

Hari Jumaat ialah hari yang paling sesuai untuk menjalankan rawatan berkenaan penyakit kardiovaskular (Jantung ) dan respirasi (Paru-paru ) kerana paras oksigen dalam atmosfera berada pada tahap yang tertinggi pada hari ini.

Sabtu

Merah ialah warna yang menyamai vibration bahagian Usus, Otot, Darah, Tulang dan Saraf. Organ yang berwarna merah ini banyak menjalankan aktiviti fizikal tubuh.

Hari sabtu ialah hari yang paling sesuai untuk keluar bersosial, berjumpa rakan-rakan dan saudara mara di samping menjalankan pelbagai aktiviti seperti bersukan, menjalankan aktiviti lasak dan sebagainya.

Bagi mereka yang mengalami penyakit yang berkaitan dengan Usus, Darah dan Ot atau Tulang dan Saraf, amat sesuai memulakan rawatan pada hari sabtu. Memulakan rawatan bagi penyakit yang berkaitan dengan organ merah ini pada hari yang lain selain sabtu biasanya akan memberi implikasi kesan pembongkaran di mana pesakit akan merasa kesakitan dalam proses penyembuhan.

Ahad

Tenaga spektrum pada hari Ahad adalah menyamai pada hari Isnin. Perbezaannya ialah gerakkan zarah pada hari ahad didapati lebih tertumpu kepada sesuatu kawasan berbanding dengan semua hari yang lain di mana pergerakan zarah adalah rawak. Gerakkan zarah dalam atmosfera amat pelik kerana menyamai keadaan zarah dalam air.

Gabungan semua warna dalam udara akan membentuk warna putih, tetapi gabungan semua warna dalam air akan membentuk warna kegelapan atau hitam. Hari Ahad adalah gabungan semua warna dalam keadaan zarah yang menyamai sifat air.

Gabungan semua warna akan mempertenagakan seluruh tubuh. Tetapi kewujudannya dalam keadaan zarah yang hanya bergerak dalam kawasan setempat menjadikan tenaga ini separa matang (magnitud) dan masih belum mampu mempertenagakan mana-mana bahagian tubuh.

Oleh itu, hari Ahad ialah hari yang sesuai untuk beristirehat. Sebaik-baiknya bercutilah pada dari Ahad. Hari rehat ini ialah hari terbaik untuk bersama keluarga tercinta. Menjalankan sebarang aktiviti teruatamanya aktiviti lasak hanya akan mendatangkan kemudaratan terhadap tubuh.

Memandangkan hari Ahad mempunyai penyerakkan zarah yang tidak stabil, pakaian berwarna hitam mengelakkan diri daripada terdedah kepada golombang asing yang boleh memudaratkan. Pengamal seni mempertahankan diri yang mengenakan mengenakan tali pinggang hitam dan pakaian hitam akan merasa bebas dari kongkongan atau pengaruh gangguan tenaga asing.

Defisini Resonan Warna Hari

Resonan bermaksud " mach," sepasang, mematuhi Hukum Keseimbangan atau sealiran dan serasi. Sesuatu yang dijalankan ketika resonan menjadikan hasil kerja tersebut berjalan lancar dan mendatangkan hasil yang banyak.

Setiap hari terdapat sesuatu warna yang resonan dengannya. Oleh itu, segala aktiviti yang dijalankan hendaklah diresonankan dengan warna setiap hari.

Kaedah terbaik untuk mendapatkan resonan hari ialah dengan mengenakan pakaian yang sama dengan getaran warna yang mendominasi hari.

Hari Isnin kenakan pakaian Putih.
Hari Selasa pakaian Pink atau Violet
Hari Rabu pakaian Biru.
Hari Khamis pakaian Kuning atau Oren.
Hari Jumaat pakailah Hijau.
Hari Sabtu pakaian Merah.
Hari Ahad pakailah Hitam.

Pakaian tidak semestinya perlu satu warna. Boleh dikenakan pelbagai warna tetapi dominankan warna yang resonan pada setiap hari tersebut. Bagi kaum wanita, tudung yang menyamai warna hari juga telah memadai. Begitu juga lelaki, warna baju sahaja yang menyamai warna hari juga telah memadai.

Semoga anda bergembira dengan pakaian kegemaran yang dikenakan mengikut warna yang resonan terhadap hari.



Rabu, 15 Oktober 2008

TIP MENGAWAL KETENANGAN DIRI KETIKA PEPERIKSAAN HAMPIR MENJELANG!!

Menjelang peperiksaan,berbagai rasa dan debar menerjah ke hati dan jiwa.Untuk itu luangkan masa seketika untuk berkongsi tip dan petua ini.......

PERASAAN cemas , gelisah atau gentar akan menjejaskan peluang untuk berjaya . Jadi perasaan adalah satu aspek penting yang harus diperhati . Cara untuk memulih dan menenangkan perasaannya ialahJangan tergila-gila belajar hanya 1 bulan hampir peperiksaan . Kegilaan yang tiba-tiba ini akan mendorong kamu menggunakan "pep pills" - ubat penahan mengantuk . Sedarlah bahawa ia merosakkan sistem saraf dan mengurangkan kecerdasan seseorang . Ia boleh membuat kamu pengsan di dewan peperiksaan kerana keletihan . Sebaliknya , hendaklah kamu mula bersedia lebih awal , belajar dengan satu sistem seperti dinyatakan di atas . Rasa cemas tidak akan timbul sekiranya nota sudah lengkap , bersih dan diulang kaji sepanjang tahun .
  • Jangan cuba berpegang kepada harapan orang ( ibu bapa dan keluarga umpamanya ) yang mungkin terlalu tinggi untuk diri kamu . Hendaklah kamu mengakui dengan kenyataan mengenai pengetahuan yang ada pada kamu dan bertindaklah di peringkat yang sesuai dengan kemampuan kamu .
  • Jangan cuba menambah atau mendapatkan banyak butir-butir baru ketika hampir waktu peperiksaan ; sebab ini akan mendedahkan kekosongan pengetahuan kamu dan seterusnya menambahkan kebimbangan dan akhirnya membuat kamu panik . Hendaklah kamu menumpukan perhatian ke atas prinsip-prinsip dan konsep-konsep am daripada mempelajari segala detail yang begitu banyak .


  • Jangan bimbang kerana gagal mengingati segala fakta yang kamu pelajari di saat peperiksaan hampir dimulakan . Hendaklah kamu faham bahawa di antara isi-isi yang kamu terlupa dapat diingati kembali asalkan perkara-perkara yang mempunyai pertalian yang tepat dapat dimuatkan dalam jawapan kamu .

  • Jangan membuang masa dengan merasai bimbang dan menyesali mengenai apa yang kamu sepatutnya telah pelajari dan betapa baiknya keputusan yang mungkin kamu perolehi sekiranya kamu telah belajar lebih kuat atau mula belajar lebih awal . Hendaklah kamu menerima apa yang patut dan boleh kamu lakukan dalam masa yang tinggal . Ambillah keputusan untuk menggunakan masa itu sepenuhnya .

  • Jangan terus membandingkan kamu dengan kawan-kawan lain yang nampaknya lebih tahu atau betapa kuatnya mereka belajar daripada diri kamu . Hendaklah kamu mengambil keputusan sendiri berapa lamakah sepatutnya kamu belajar tanpa memudaratkan kesihatan kamu sama ada jasmani atau mental .

  • Jangan membincangkan pelajaran dengan kawab-kawan ketika peperiksaan hampir dimulakan . Bila kamu dapati yang kamu cuma tahu sedikit sahaja jika dibandingkan dengan kawan-kawan kamu , ini mungkin menambah perasaan bimbang dan panik , yang mana adalah satu perkara yang terlalu mahal harganya untuk dibayar bagi butir-butir tambahan yang kamu boleh didapati . Rehatkan otak kamu dan bertenanglah buat beberapa ketika sebelum memasuki dewan peperiksaan .

  • Jangan sampai ke dewan peperiksaan terlalu awal , kerana ketegangan dan kelamaan menunggu akan menambahkan kemungkinan untuk panik . Hendaklah sampai pada waktu yang selesa untuk kamu berehat tanpa terburu-buru dan berpeluh-peluh untuk memasuki dewan peperiksaan .

  • Jangan berjaga terlalu lewat malam sebelum hari peperiksaan disebabkan kamu rasa masih banyak yang patut dipelajari . Hendaklah kamu cukup tidur kerana otak yang bekerja lebih dan badan yang penat amatlah memudahkan kamu berasa bimbang dan panik .


Sekiranya kamu rasa diri kamu mulai panik , cuba buat perkara-perkara berikut untuk mengurangkan ketegangan dan perasaan bimbang :
  • Hentikan apa juga yang sedang kamu lakukan buat seketika .
  • Beritahu diri kamu supaya bertenang dan berehat .
  • Tarik nafas panjang dengan perlahan-lahan , kemudian lepaskan ; ulangi beberapa kali .
  • Ingatlah sesuatu yang indah sewaktu menarik nafas panjang .

TIADA siapa pun yang tidak merasa cemas , gelisah , gementar dan tertekan apabila menghadapi ujian atau peperiksaan . Kesannya adalah sebahagian dari sifat semula jadi manusia

Sepatutnya , ia tidak membawa kita ke jurang putus asa dan menyerah kalah . Tidak juga kepada kebimbangan dan sakit-sakit . Sebaliknya , ia diterima sebagai perkara biasa dan menjadi pendorong untuk terus berusaha . Penawar bagi "penyakit" ini ialah :
  • Ingat dan katakan pada diri bahawa aku telah bersekolah dan belajar dari zaman kanak-kanak , hingga ke tahap yang ada sekarang . Aku telah melalui beberapa ujian . Lumrah .
  • Kesempatan untuk melepasi ujian dan rintangan kali ini , walaupun lebih mencabar , tidak harus dilepaskan dengan mudah . Tidak patut dipersiakan .
  • Pengorbanan ibu bapa yang telah dicurahkan terlalu banyak . Jadi kamu mesti tabah hati , untuk membahagiakan mereka .
  • Bukan kamu seorang yang menghadapi peperiksaan dan bukan kamu sahaja yang merasai apa yang kamu rasai .
  • Menarik nafas panjang dan dalam berulang kali .
  • Melakukan senaman ringan .
  • Sembahyang , membaca ayat-ayat Al-Quran , berzikir dan berdoa .
  • Kurangkan minuman bersusu dan makanan bergula . Lebihkan makan buah-buahan , roti , ikan dan sayur .
  • Senyum . Jadikan senyuman pakaian wajah pada setiap ketika .
  • Sembahyang , zikir dan doa .
  • Mendampingi ibu bapa , rakan karib dan guru . Cakap-cakap biasa dan pohon restu .
  • Rehat secara tidur sekejap , bersukan , bersenam dan seumpamanya .
Kemampuan untuk mengawal diri dan menjadikan rasa runsing dan cemas itu sebagai pendorong sangat penting . Jika tidak dapat dikawal , maka terancamlah peluang kamu . Oleh itu kamu tidak ada pilihan lain . Kamu tidak boleh tunduk .Teruskan melangkah dengan kekuatan dan keyakinan diri beserta doa dari ayah ibu dan bertawakallah kepada Allah.
Berusahalah sebaik mungkin.InshaAllah kejayaan akan mengiringi kamu!!
:happy::happy: