Mempunyai matlamat yang jelas Ibu bapa yang cemerlang mestilah mempunyai matlamat hidup berkeluarga yang jelas. Matlamat yang menjamin keutuhan rumah tangga dan kesinambungan generasi yang berkekalan dan berilmu. Jika sesuatu perkahwinan dilakukan kerana mengikut kebiasaan dan adat semata-mata, ia kana menjadikan rumah tangga hambar dan tidak berhaluan. Matlamat yang jelas akan menyebabkan ibu bapa membuat perancangan yang teratur untuk masa depan anak-anak dan dapat menjalani kehidupan di dunia dan akhirat dengan lebih cemerlang. Sebenarnya apa yang kita minta, itulah yang akan kita dapat.
Tegas
Ketegasan dalam segala tindakan ibu bapa akan dapat mendisplinkan anak dengan lebih cemerlang. Ketegasan yang positif akan menyebabkan anak-anak lebih menghormati kedua-dua orang tuanya dan memahami kehendak ibu bapanya.
Berakhlak mulia
Ibu bapa yang cemerlang mestilah mempunyai akhlak yang mulia untuk membimbing anak-anak supaya mereka juga mempunyai akhlak yang mulia. Sebagaimana hadis Rasullullah S.A.W. yang bermaksud : "Paling sempurna seorang mukmin imannya adalah yang paling luhur akhlaknya."
(Hadith Riwayat Tirmidzi)
Pepatah Melayu juga pernah menyebut :
"Bapa borek anak rintik". Kita tidak mahu menjadi seperti "Ketam yang mengajar anaknya berjalan betul".
Mengambil berat terhadap keluarga
Suka sifat mengambil berat terhadap keluarga akan menyebabkan anak-anak rasa disayangi dan diambil perhatian. Sifat ini dengan secara tidak langsung akan menanamkan rasa kasih sayang di jiwa anak-anak
Komitmen yang tinggi
Apabila pasangan suami isteri bersedia untuk mempunyai keluarga, sudah tentulah komitmen yang tinggi diperlukan untuk menjamin keharmonian rumah tangga. Sekiranya pasangan suami isteri hanya menganggap bahawa berkeluarga hanyalah kitaran hidup yang biasa bagi seorang manusia, maka janganlah hairan kalau rumah tangga tersebut hanya berada di tahap yang sederhana sahaja
Berketrampilan dalam pelbagai bidang
Ibu bapa yang cemerlang harus mempunyai pengetahuan yang agak luas dalam pelbagai bidang. Ini akan dapat mengukuhkan kefahaman mereka dalam mendidik anak-anak mengenai bidang-bidang yang berkenaan
Yakin terhadap diri sendiri
Keyakinan yang tinggi menjadi pemimpin dalam rumah tangga adalah tunggak kepada kekuatan seseorang suami dan keyakinan yang jitu dalam mendidik anak-anak adalah tunggak kepada isteri yang solehah. Tanpa keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri, kedua-dua ibu bapa tidak dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan. Ingat "bagaimana acuan, begitulah kuihnya".
Konsisten dalam melakukan sesuatu
Sesuatu amalan yang dilakukan secara konsisten oleh kedua-dua ibu bapa seperti sembahyang jemaah, melakukan aktiviti-aktiviti yang mulia, memberi arahan dan mengenakan hukuman akan dapat menanamkan rasa hormat dalam diri anak-anak terhadap kedua-dua orang tuanya
Pemikiran yang kreatif dan positif
Ibu bapa yang mempunyai pemikiran yang kreatif dan positif akan dapat mewujudkan suasana yang ceria dalam rumah tangga. Kreatif dalam mengemas rumah, memilih makanan, beriadah dan sebagainya akan dapat mengubah selera dan suasana dalam rumah tangga
Boleh diharap
Ibu bapa adalah tempat bergantung oleh anak-anak. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa bersedia untuk melayani dan melindungi ahli-ahli keluarga apabila diperlukan
Sentiasa bertenaga
Anak-anak memerlukan kemanjaan, kasih sayang dan perhatian pada bila-bila masa. Oleh yang demikian ibu bapa harus sentiasa mempunyai tenaga yang banyak untuk melayani kerenah anak-anak. Pastikan kesihatan diri sentiasa berada dalam keadaan terbaik
Sentiasa bersemangat
Ibu bapa tidak seharusnya berasa jemu untuk menjalankan aktiviti harian. Mereka harus sentiasa bersemangat untuk mewujudkan suasana rumah tangga yang bahagia. Semangat ini hanya datang dari komitmen yang tinggi dan pemikiran yang positif
Mudah mesra dan penyayang
Senyuman yang sentiasa terukir di wajah ibu bapa menjadi penawar kepada segala penyakit dalam rumah tangga
Pandai mendengar dengan berkesan
Ibu bapa yang boleh mendengar dengan berkesan rintihan anak-anak akan dapat menyelesaikan segala masalah anak-anak. Mendengar merupakan satu kemahiran yang harus dipelajari untuk memahami dan mendidik dengan lebih berkesan
Sentiasa bekerja kuat dan smart
Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan akan membuahkan hasil yang lumayan. Pekerjaan seumpama ini akan menjadi ikutan kepada anak-anak
Kejujuran dan keikhlasan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa menanamkan sifat kejujuran dan keikhlasan dalam segala tindak-tanduk. Kejujuran dan keikhlasan dalam menghukum anak misalnya akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri anak berbanding dengan perasaan marah dan benci
Merendah diri
Sifat merendah diri ini bukanlah bermaksud sehingga anak-anak boleh memijak kepala kita. Sekiranya ibu bapa merendah diri terhadap kedua-dua ibu bapanya, maka sudah tentulah anak akan mengikuti jejak langkah tersebut
Sentiasa menjaga harga diri / maruah
Ibu bapa yang sentiasa menjaga maruah diri dan keluarga akan meningkatkan lagi maruah keseluruhan keluarga tersebut. Dengan ini keluarga tersebut akan dihormati dan dipandang tinggi oleh masyarakat
Bijaksana
Ibu bapa seharusnya mempunyai kebijaksanaan yang melebihi anak-anak. Ini sudah tentunya melalui pengalaman dan pembacaan yang luas. Pergaulan yang luas juga menjadikan ibu bapa lebih berpengetahuan
Pengasih dan penyayang
Anak-anak memerlukan ibu bapa yang pengasih dan penyayang. Semua anak tidak meminta untuk dilahirkan ke dunia ini. Oleh itu setiap kelahiran anak patutlah dibajai dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi
Bermotivasi tinggi
Ibu bapa harus sentiasa memupuk semangat motivasi yang tinggi dalam diri masing-masing. Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Motivasi hendaklah dipupuk dan dibaja setiap masa dan ketika
Optimistik
Persediaan untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang sebelum berkahwin lagi akan menjadikan seseorang itu bersifat optimistik terhadap membina rumah tangga yang diidamkan
Mempunyai perancangan yang rapi
Merancang kehidupan harian adalah satu langkah yang paling baik untuk kesejahteraan semua ahli keluarga. Perancangan yang teratur akan melicinkan perjalanan harian keluarga dan dapat memastikan semua ahli dalam keadaan selesa
Gigih
Kesejahteraan sesebuah keluarga tidak dapat dibentuk dalam sekelip mata sahaja. Ia memerlukan kegigihan dan kesabaran yang tinggi. Mereka yang berasa kecewa akan gagal. Jadikan kegagalan sebagai kawan yang paling karib untuk mencapai kejayaan
Sikap mental yang positif dan kreatif
Bagi mengelakkan kebosanan dalam rumah tangga, ibu bapa hendaklah sentiasa mempunyai sikap mental yang positif dan kreatif dalam menangani segala masalah dalam rumah tangga
Kepantasan bertindak
Membuat keputusan yang adil dan bertindak cepat akan dapat mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku
Imej diri yang cemerlang
Imej diri yang cemerlang akan menambahkan keyakinan dalam diri ibu bapa. Imej diri bukan sahaja dilihat dari perspektif luaran malah ia juga harus dilihat dari perspektif dalaman
Mempunyai kemahiran berkomunikasi
Ibu bapa yang mempunyai kemahiran komunikasi akan disukai oleh semua ahli keluarga. Teknik menegur ahli keluarga yang berhemah akan menjadikan mereka orang yang disanjungi dan dihormati
Pandai bergurau
Bergurau senda dalam rumah tangga akan menceriakan persekitaran sesebuah keluarga
Berdoa dan mendoakan
Ibu bapa yang cemerlang sentiasa berdoa untuk kecemerlangan diri dan ahli keluarga yang lainnya.
Sifat personaliti yang tersemai di hati boleh dipelajari dan ia bukan sesuatu yang semula jadi atau tumbuh dengan sendirinya dalam diri setiap individu
TANGGUNGJAWAB BERUMAH TANGGA
Rumah tangga yang harmoni dan sejahtera memerlukan satu rasa tanggungjawab yang begitu berat yang harus dipikul oleh kedua-dua ibu bapa. Ia memerlukan satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jayanya
Tanggungjawab Ibu Bapa dalam rumah tangga
1. ibu hendaklah memilih calon bapa yang baik dan serasi. Begitu juga sebaliknya.
2. membentuk anak sebagai pewaris bangsa yang akan membentuk generasi akan datang yang gemilang.
3. berdoa dan mengikut adab semasa 'berjimak' supaya anak yang dilahirkan berlandas kepada kehendak agama.
4. bersikap positif terhadap kelahiran anak samada lelaki atau perempuan.
5. memberikan nama yang indah dan mempunyai maksud yang baik supaya mereka tidak dihina dan dicela apabila besar kelak.
6. mengakikahkan anak.
7. menyusui anak sendiri.
8. mengkhatankan anak.
9. memberikan nafkah yang secukupnya untuk anak-anak.
10. menepati segala janji dengan anak-anak.
11. memupuk rasa kasih sayang di kalangan anak-anak.
12. menepati segala janji dengan anak-anak.
13. menghormati hak anak-anak dengan tidak membatasi hak ibu bapa sendiri.
14. mendidik akhlak anak-anak ke arah kecemerlangan.
15. menanam akidah tauhid dalam diri anak-anak. Tanamkan kecintaan kepada Allah S.W.T., Rasullullah S.A.W. dan keluarga baginda.
16. melatih dan membimbing anak-anak menunaikan solat dan tuntutan agama yang lainnya.
17. bertindak adil terhadap sesama anak-anak.
18. mengasingkan tempat tidur antara anak lelaki dan anak perempuan.
19. memastikan anak-anak bergaul dengan orang yang baik-baik.
20. mengajar anak membaca al-Quran, berzikir dan cintakan ilmu.
21. menerangkan kepada anak-anak tentang halal haram dan baik buruk sesuatu perkara.
22. tidak memewahkan anak-anak supaya mereka belajar erti kehidupan yang sebenar.
23. mendidik anak supaya mereka tidak mengganggu di waktu aurat iaitu subuh, tengahari dan selepas Isyak melainkan untuk tujuan kecemasan dan penting.
24. melatih dan menggalakkan anak-anak beriadah untuk kesihatan fizikal dan mental.
25. menghormati anak-anak seperti mana kita mahu mereka menghormati kita.
26. menghiburkan keluarga.
27. mencegah pergaulan bebas supaya mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
28. membimbing anak-anak bertakwa.
29. memastikan anak-anak tidak terdedah kepada perkara-perkara lucah.
30. memastikan keselamatan anak-anak setiap masa dan di mana jua.
31. memperkenalkan anak-anak kepada sanak saudara samada yang jauh mahupun yang dekat.
32. mendidik anak tentang etika sosial.
33. mengahwinkan mereka dengan pasangan yang baik agamanya.
34. bersabar dan menerima ketika kematian anak.
35. mendidik anak sayangkan binatang dan makhluk Allah S.W.T. yang lainnya.
36. menegakkan amal makruf dan nahi mungkar dalam rumah tangga.
37. mewasiatkan iman dan takwa kepada anak-anak.
38. sentiasa mendoakan anak-anak khususnya di saat-saat mustajab.
39. sentiasa bertawakal kepada Allah S.W.T.
Doa Ibu untuk kesejahteraan anak dalam kandungan
"Ya Allah, peliharalah anakku selama ia berada di dalam perutku dan sihatkanlah ia. Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhan-Mu, penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit. Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah ke dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada Rasul-Mu. Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat. Ya Allah, jadikanlah dia sihat dan sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal. Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya dan baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca al-Quran dan hadis dengan berkat Nabi Muhammad S.A.W. dan segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam."
RUMUSAN
1. Ibu bapa yang berkesan memerlukan personaliti yang profesional dan praktikal untuk dicontohi oleh anak-anak.
2. Nilai diri yang positif akan membawa kepada keyakinan diri yang mantap, penghormatan daripada orang lain dan membentuk persekitaran yang kondusif. memahami dan memberi ganjaran kepada anak-anak secara psikologikal dan material akan memperkukuhkan institusi rumah tangga
Sabtu, 3 Januari 2009
PERSONALITI IBU BAPA YANG CEMERLANG
Dicatat oleh Cikgu Mala :) di 8:28 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan