Apa kaitan EQ dengan pengurusan, kepimpinan dan pendidikan? Bagaimana EQ dapat memantapkan kreativiti dan kemahiran berkomunikasi anda?
EQ (Intelligent Quotient) atau kecerdasan emosi adalah sub ilmu yang terdapat dalam bidang psikologi. Setiap orang yang ingin berjaya memerlukan keseimbangan antara EQ dan IQ (Intelligent Quotient). Setiap ketika kita sentiasa ‘berurusan’ dengan emosi sama ada emosi sendiri ataupun emosi orang lain. Andainya kita seorang guru kita perlu faham perasaan pelajar, guru-guru lain dan kakitangan sekolah. Apabila tahap EQ seorang guru rendah pasti dia selalu berkonflik dengan pelajar ataupun sesiapa sahaja yang berhubung dengannya. Begitu juga setiap insan lain sama ada doktor, pemandu bas, pekerja restoran, pelajar ataupun suri rumah, semuanya perlu memiliki tahap kecerdasan emosi yang tinggi. EQ yang tinggi memudahkan urusan harian kita dan hubungan sesama manusia sentiasa baik.
Antara yang disentuh di dalam ini adalah kecerdasan emosi dalam Islam. Islam mementingkan kemaslahatan emosi manusia. Membincangkan kaitan emosi dengan aspek kerohanian, pemikiran dan perkara ghaib. Hal ini juga mengaitkan kecerdasan emosi dengan konsep diri dan jiwa, kesederhanaan Islam dan manifestasinya dalam kehidupan Muslim.
Kita sedang membincangkan aspek kecerdasan emosi dalam pengurusan. Dalam organisasi setiap kakitangannya perlu memiliki EQ yang tinggi. Apatah lagi seorang pengurus. Ini kerana beliau perlu sentiasa berurusan dengan kakitangan bawahannya ataupun berurusan dengan pihak luar bagi mendapatkan projek-projek besar untuk syarikatnya. Hampir keseluruhan skop tugas pengurus memerlukan kemahiran sosial dan kecekapan emosi yang tinggi Apabila pengurus tidak mendominasi EQ dalam pengurusan menyebabkan berlakunya konflik, tidak percaya sesama sendiri, pecah amanah, rasuah dan lain-lain lagi.
EQ dalam kepimpinan juga perlu dikupas dengan mendalam . Pemimpin memerlukan tahap kecerdasan emosi yang tinggi bagi melaksanakan peranan atau fungsi kerja dengan jayanya di samping memiliki pengetahuan dan kemahiran kepemimpinan. Apabila kita mempunyai kemahiran sosial yang tinggi ia dapat membantu kita mempengaruhi orang lain, memimpin kumpulan dan senang hendak mengubah organisasi ke arah yang positif.
Goleman (1996) membuat kajian ke atas kanak-kanak, remaja dan dewasa mendapati individu yang mempunyai EQ tinggi mencapai prestasi kepimpinan yang lebih tinggi daripada sudut kecekapan sosial, keberkesanan peribadi, dapat mengawal tekanan, lebih berdikari dan boleh diharapkan dalam kerja mereka. Apa yang menarik menurut pendapat para pemimpin yang berjaya di dunia, kebanyakan mereka mengatakan IQ mereka berada pada tahap sederhana manakala EQ mereka berada di tahap yang tinggi.
EQ juga penting dalam mengurus tekanan supaya hidup menjadi selesa dan harmoni. Tekanan yang diurus dengan baik menyihatkan tubuh badan kita.
Apa pula pandangan ber kaitan antara kecerdasan emosi dengan kreativiti? Bagi saya semua manusia kreatif. Tetapi setiap orang perlu memupuk dan membaja bakat kreatif dengan cara yang betul. Dalam hal ini seni berfikir kreatif dan kepintaran emosi adalah dua konsep yang saling bergantung. Berfikir secara kreatif memerlukan kecerdasan emosi yang tinggi kerana kreativiti adalah dimensi pemikiran yang bertentangan dengan pemikiran konvensional. Kepintaran emosi menggalakkan otak kanan mengeluarkan idea-idea yang luar biasa dan yang terbaik.
Apa pula peranan pendidik dalam isu EQ ini? Sebenarnya pendidik memainkan peranan besar dalam meningkatkan tahap kecerdasan emosi pelajar. kita membincangkan peranan dan tanggungjawab pendidik dalam meningkatkan enam elemen kecerdasan emosi pelajar iaitu kesedaran kendiri, mengendalikan emosi, timbang rasa, berhubung, kerjasama dan menyelesaikan konflik. Para pendidik ataupun pihak yang berurusan dengan pelajar perlu tahu cara yang betul bagaimana hendak berhubung dengan pelajar. Falsafah pendidikan kebangsaan turut menekankan aspek kecerdasan emosi.
Di samping itu kitai turut mengupas aspek kecerdasan emosi yang ada dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mementingkan adab ketimuran dan perasaan. Ini dapat dibuktikan dengan adanya banyak pantun-pantun, peribahasa dan bahasa kiasan yang digunakan bagi melakukan teguran, nasihat. Menasihati dengan cara berpantun lebih lembut bunyinya. Bahasanya lebih halus dan sedap didengar. Antara pantun Melayu yang berbentuk nasihat seperti berikut:
Jangan dibuka pintu lukah,
Jika dibuka ikan meluru;
Jangan suka mencari salah,
Salah kita baiki dahulu.
Peribahasa juga selalu digunakan bertujuan hendak menasihati seseorang. Contoh peribahasa berbentuk nasihat adalah:
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Apabila kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul ia dapat mengelak daripada berlakunya konflik semasa berhubung dengan orang lain. Kecerdasan emosi dalam bahasa Melayu membolehkan penuturnya melahirkan perasaannya ataupun pendapatnya tanpa menyinggung perasaan orang lain dan memelihara silaturahim.
Selain itu orang Melayu juga kaya dengan adat. Adat diwujudkan bagi memelihara kesejahteraan orang Melayu khususnya. Kecerdasan emosi dalam budaya Melayu perlu dikaji. Adat Melayu menitik beratkan aspek kesedaran kendiri, mengendalikan emosi, timbang rasa, berhubung, bekerjasama dan menyelesaikan konflik. Orang Melayu yang mengamalkan adat Melayu dengan betul pasti memiliki tahap EQ yang tinggi.
0 ulasan:
Catat Ulasan