Selasa, 11 Januari 2011

PERANAN MUZIK DALAM PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Muzik sentiasa menjadi sebahagian penting dalam sistem pembelajaran kanak-kanak. Misalnya, seorang ibu akan mendendangkan irama lagu semasa mendodoikan anaknya untuk tidur, menyanyikan nada irama kanak-kanak apabila menyampaikan cerita fiksyen atau sejarah, serta aktiviti menyanyi bersama yang dipelajari kanak-kanak semasa di rumah atau di prasekolah. Semua rangsangan stimulasi ini memberikan perkembangan yang sihat kepada bayi dan kanak-kanak.

Kajian terbaru membuktikan bahawa muzik boleh memantapkan perkembangan bahasa, hubungan bunyi perkataan, keupayaan matematik kanak-kanak dan sesetengahnya meningkatkan keupayaan intelektual kanak-kanak. Menurut Dr. Lihanna Borhan, pensyarah perkembangan kanak-kanak di Universiti Malaya, kepelbagaian jenis muzik berguna untuk masa depan bayi kerana ia memupuk kemahiran menulis, membaca dan perbahasan.

Semasa usia enam tahun pertama mereka, kanak-kanak boleh berlagu mengikut irama apabila mereka cuba membezakan deria dan bunyi daripada irama muzik serta memperoleh penyampaian visual bunyi tersebut. Proses mendapatkan maksud dari bunyi merupakan kunci utama untuk permulaan kanak-kanak dalam perkembangan bahasa.

Muzik juga memiliki keupayaan memulih ke atas kanak-kanak. Mengikut hasil kajian yang dijalankan oleh Stanford University telah mendedahkan bahawa :

  1. Muzik meningkatkan pembacaan untuk kanak-kanak disleksia
  2. Meningkatkan keupayaan otak untuk mengenalpasti dengan cepat perubahan bunyi dan nada
  3. Mempunyai faedahkognitif, walaupun tahap ukurannya belum ditentukan
  4. Keupayaan pemikiran spatial dan temporal (yang merupakan asas penting untuk matematik dan sains) dan prestasi yang lebih baik dalam menjalankan tugas dibandingkan rakan mereka yang tidak mengambil pelajaran muzik, termasuk mereka yang mengambil pelajaran komputer dalam tempoh yang sama.
  5. Peningkatan celik huruf, muzik sememangnya menjadi komponen penting dalam perkembangan bahasa kerana ia merupakan cara yang baik untuk melibatkan kanak-kanak dalam menerokai bunyi dan perkataan, manakala irama pula alat yang berguna untuk meningkatkan memori. Contoh terbaik adalah lagu huruf. Sesetengah orang dewasa masih menyanyikan ABCDE hingga Z untuk membaca huruf.
  6. Berupaya untuk memahami maklumat baru dengan lebih baikdan cepat, kerana muzik meningkatkan keupayaan mental.
  7. Merangsang keyakinan dan harga diri anak anda. ia menjadi faktor penting untuk perkembangan dan pembesaran kanak-kanak.

Keseronokan adalah kunci kepada apa jua proses pembelajaran. Menyanyi, bermain dan menarilah bersama murid prasekolah anda. Kerana tiada pembelajaran yang lengkap tanpa ibu bapa dan guru.

0 ulasan: