Sabtu, 2 Januari 2010

PERSEDIAAN MENYAMBUT MURID DI PRASEKOLAH

Info ini saya ambil dari blog kak g..ia sangat2 berguna buat kita semua pada hari pertama murid-murid pra menjejakkan kaki mereka ke kelas..

Pengurusan Murid
1. Alat permainan mencukupi untuk semua kanak-kanak untuk membuatkan mereka leka seketika agar ibu bapa boleh menyelinap keluar dari kelas. Kebiasaannya kanak-kanak akan menangis dan meraung. Jadi pastikan mereka leka seketika.

2. Bersedia dengan lagu-lagu dan cerita kanak-kanak sama ada guru bercerita sendiri atau memasang vcd yang sesuai.


3. Galakkan ibu bapa berada di luar kelas atau terus pulang selepas menghantar anak mereka. Ini untuk mengalakkan kanak-kanak mempunyai keyakinan diri untuk bersama rakan-rakan sebaya mereka.

4. Pastikan makanan yang bakal dimakan pada hari pertama mencukupi. Biasanya pembantu pengurusan murid tidak memasak pada hari pertama kerana dia perlu membantu guru mengawasi kanak-kanak yang beraneka ragam.

5. Minta ibu bapa membekalkan pakaian gantian yang bertanda nama sekiranya kanak-kanak terbuang air besar, air kecil atau muntah di kelas.


6. Sediakan marker pen untuk menulis tanda nama pada kasut kanak-kanak agar keadaan tidak menjadi kelam kabut sewaktu pulang.


7. Pastikan semua beg kanak-kanak mempunyai tanda nama agar kekecohan dapat dielakkan. Kanak-kanak biasanya akan menangis apabila beg mereka diambil oleh orang lain atau ada yang tidak mahu mengakui begnya sendiri jika beg itu serupa dengan rakan yang lain.


8. Setokin kanak-kanak mesti ditandakan supaya tidak tertukar atau mereka akan biarkan sahaja sehingga anda boleh membuat koleksi setokin busuk!.

Ini pula tips beliau pada hari pertama persekolahan..

Bagaimana caranya?

1. Letakkan murid dekat dengan rakan yang biasa ditemuinya misalnya rakan sebelah rumah.

2. Benarkan kanak-kanak membawa barang kesukaan mereka pada hari pertama. Anda boleh berbual dengan kanak-kanak tentang barang tersebut untuk meredakan kebimbangan mereka.

3. Benarkan ibu bapa menunggu untuk sehari kerana sukar bagi kanak-kanak untuk berpisah di hari pertama. Beransur-ansur minta ibu bapa balik bila lihat keadaan anak mereka sudah stabil.

4. Minta ibu bapa ambil anak mereka tepat pada waktu balik supaya dapat mengelakkan kanak-kanak rasa tidak selamat.

5. Sebelum sekolah bermula, anda hiaslah kelas supaya lebih ceria. Sediakan belon atau alat permainan yang mencukupi untuk setiap kanak-kanak. Kalau perlu sediakan goodies bag sebagai penarik kepada kanak-kanak. Mungkin anda boleh berikan mereka pensel yang telah diikat reben yang menarik perhatian kanak-kanak.

Jumaat, 1 Januari 2010

ASUHAN YANG BETUL MELAHIRKAN ANAK YANG CEMERLANG

Jangan terkejut apabila anak anda menyatakan atau bertanyakan sesuatu perkara yang tidak pernah terlintas dalam fikiran anda. Otak kanak-kanak bertindak seperti span yang membantu mereka menyerap segala yang dipelajari.

Sebagai ibu bapa, tugas kita ialah untuk merangsang minda anak-anak dengan memberi peluang kepada mereka untuk membina asas yang kukuh sebagai persediaan untuk menempuh alam persekolahan dan tumbesaran seterusnya.

Tempoh pembangunan mental yang paling intensif dan sensitif dalam zaman kanak-kanak ialah dari peringkat bayi hingga mencapai usia 10 tahun.

Pembangunan mental membabitkan dua matlamat utama. Pertama - untuk memahami simbol (seperti warna, gambar, abjad dan nombor) dan yang kedua - untuk memahami jumlah (seperti banyak, sedikit dan sebagainya.

Pengetahuan asas ini akan membolehkan mereka menimba kemahiran yang lebih rumit seperti bertutur, membaca, mengira, melukis dan menghargai muzik.

Segala yang dilihat, didengar dan dilakukan membawa pengajaran kepada kanak-kanak semasa bayi, mereka diasuh untuk memahami kesan memasukkan mainan ke dalam mulut atau menyepahkan mainan di merata tempat. Peranan kita dalam proses pembelajaran mereka akan meningkat apabila mereka membesar.

Kemahiran bercakap dan menguasai bahasa dengan baik sangat penting untuk berkomunikasi dengan orang lain. Kebolehan ini merupakan sebahagian daripada kemahiran yang dapat membantu mencegah salah laku apabila mereka dewasa.

Proses membina kemahiran bertutur dan menguasai bahasa, seharusnya dimulakan daripada usia sembilan bulan hingga anak-anak mencapai usia tujuh tahun.

Selepas itu proses pembelajaran bahasa menjadi semakin rumit. Jadi pastikan anda berbual mesra dengan anak-anak walaupun mereka mungkin belum dapat memahami sepenuhnya apa yang anda perkatakan.

Anda boleh bercerita, menyanyikan lagu kanak-kanak dan berpantun seloka sambil menyelitkan unsur-unsur pendidikan. Sebagai contoh, seni kata lagu popular kanak-kanak Pok Amai-Amai yang berbunyi:

Pok amai-amai,
Belalang kupu-kupu;
Tepuk ramai-ramai,
Nanti malam upah susu.

Susu lemak manis,
Santan kelapa muda;
Adik jangan menangis,
Emak banyak kerja.

Daripada seni kata lagu ini mengajar anak-anak tentang pantun dua kerat, empat kerat dan nasihat supaya adik jangan menangis kerana ibu perlu menguruskan banyak kerja rumah.

Menyanyi sambil bertepuk tangan melatih anak-anak kecil menghargai rentak muzik dan menguasai bahasa dengan baik. Kita boleh melatih anak-anak yang lebih besar untuk mengulangi cerita, nyanyian atau pantun untuk adik-adik yang lebih kecil kerana cara ini dapat membantu membina kemahiran mendengar dan menguatkan daya ingatan mereka.

Dengan menggunakan alat bantuan membaca yang sesuai seperti buku dan sebagainya lagi, kita membantu anak-anak memahami perkataan bertulis yang juga melambangkan bahasa. Kita boleh mengajar anak-anak membaca dengan mengenal abjad serta bunyinya, mengeja nama dan beberapa nombor dalam bentuk tulisan.

Kegiatan matematik boleh membantu anak-anak memahami bahawa nombor melambangkan hitungan objek dan mengajar mereka mengira serta memahami konsep sedikit, banyak, kurang, lebih atau sama.

Melukis adalah satu cara paling menyeronokkan untuk meniru dan mengambarkan idea. Dengan menconteng kertas menggunakan pensil warna, mereka mula mencuba warna, bentuk dan tekstur. Lama kelamaan, mereka akan menghargai kegiatan seni lukis dan menggunakan pelbagai bahan untuk mewujudkan bentuk-bentuk berlainan.

Selain kegiatan seni lukis, muzik juga dapat membantu pembangunan anak-anak secara keseluruhan. Dengan menyanyi, bermain dan bergerak mengikut rentak, kita membantu mereka menghargai muzik.

Pepatah lain padang, lain belalang, lain orang, lain ragam menggambarkan hakikat bahawa kanak-kanak mempunyai keupayaan dan minat yang berlainan. Namun, pertumbuhan mental mereka berlaku secara berperingkat.

Menjelang usia dua tahun, kita akan mendapati anak-anak berlagak seperti ‘pembantu kanan.’ Mereka berminat untuk melibatkan diri dalam semua kerja rumah yang kita lakukan, kerana mereka menyangka semua yang kita lakukan adalah permainan.

Mereka mahu menolong kita mengemas mainan, menyapu atau mencuci pinggan mangkuk sambil bermain air. Pujian patut diberikan setiap kali mereka melakukan kerja dengan sempurna.

Rumah boleh dijadikan gedung ilmu untuk anak-anak pra sekolah. Peluang pembelajaran terdapat dalam setiap aspek kehidupan di rumah. Sambil melipat kain kita boleh mengajar anak mengenal warna, jenis pakaian seperti seluar, baju, kain, stokin, sapu tangan dan sebagainya.

Sambil menguruskan kerja rumah kita boleh menunjukkan pelbagai kegunaan sesuatu peralatan. Sebagai contoh, selain untuk makan, sudu juga boleh digunakan untuk menyeduk gula, membancuh minuman, mengumpil penutup tin susu dan sebagainya.

Dalam usia tiga tahun, anak-anak bertukar menjadi seperti ‘rama-rama’ yang gemar bercampur-gaul dan cuba berkawan dengan orang dewasa dan kanak-kanak sebaya. Mereka sudah boleh membuat ayat menggunakan tiga atau empat patah perkataan dan lebih petah bercakap mengenai banyak perkara.

Oleh kerana mereka sudah pandai berinteraksi dengan kita, perbualan dengan mereka menjadi lebih bermakna. Masa yang diluangkan bersama mereka boleh kita gunakan untuk membaca buku cerita, menyanyi dan menguji daya ingatan mereka dengan meminta mereka menyebut perkataan-perkataan dalam pantun atau menyanyi yang sengaja tidak disebutkan.

Pada masa yang sesuai kita boleh membawa mereka berjalan-jalan di taman untuk melihat tumbuh-tumbuhan, serangga, ranting kayu dan batu-batu yang bertaburan di atas tanah. Sambil berjalan, kita boleh bercerita mengenai segala yang kita lihat dan menjawab pelbagai pertanyaan yang mungkin diajukan oleh anak-anak kita.

Menjelang hari jadi tahun keempat, anda sudah boleh melihat semua bakat yang terpendam dalam diri anak-anak anda. Daripada ‘rama-rama,’ mereka bertukar menjadi ‘penyiasat.’ Bersedialah untuk menjawab pelbagai pertanyaan yang bukan saja remah tetapi ada kalanya meleret-leret. Antaranya “Papa pergi mana?'’ Setelah diberitahu papa pergi kerja, mereka menyambung pertanyaan “kenapa papa pergi kerja?'’ Kalau dijawab untuk mencari duit, mereka akan sambung “kenapa nak cari duit?'’ Pertanyaan yang bertali-arus ini menguji kesabaran kita.

Tetapi di peringkat ini juga kita dapat melihat kemajuan yang membanggakan. Mereka bukan sahaja mengetahui nama penuh mereka tetapi juga semua ahli keluarga dan ramai saudara mara lain.

Lebih penting lagi, mereka dapat menguasai keadaan. Kita boleh membiarkan mereka membuat pilihan seperti jenis buku dan rancangan televisyen yang digemari serta menentukan segala kegiatan seni dan kraf yang diminati. Kita juga boleh berkongsi perasaan dengan mereka.

Sebaik sahaja memasuki alam prasekolah, mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran mainan yang lebih rumit, membaca buku ejaan dan menerima idea-idea yang lebih mencabar daya pemikiran mereka.

Kebanyakan kanak-kanak dalam usia pra sekolah boleh bercakap dengan jelas, kecuali perkataan-perkataan yang sukar disebut bunyinya. Ada juga yang pandai mengarang cerita dan melawak. Begitu banyak yang dipelajari. Walaupun anak anda sudah mencapai banyak kemajuan dalam masa yang singkat dan menjadi seorang ‘pakar,’ dia masih mahu anda memahami perasaannya dan mendengar ceritanya, pada masa yang sama dia mahu bermain dengan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya. Oleh kerana dia baru belajar mengenal erti buruk dan baik, anda perlu bersabar menghadapi sifat ‘loyar buruk’ anak anda.

Menjelang kemasukannya ke sekolah rendah, dia sudah boleh berdikari. Fikirannya lebih matang, mahu berkongsi idea, perasaan dan pengalamannya, mendengar ceritanya mengenai apa dilakukan dan dipelajari di sekolah juga mengenai kawan-kawan baru dan sebagainya.

Selain menjadikan diri kita sebahagian daripada proses tumbesaran mereka, kini tibalah masanya untuk mereka menjadikan kita sebahagian daripada kehidupan mereka. Inilah ganjaran yang paling membahagiakan kita sebagai ibu bapa yang membesarkan mereka.