Rabu, 29 Oktober 2008

Mendidik Anak Biar Kena Caranya!!

IBU bapa sering mempunyai harapan yang tinggi terhadap anak mereka dan mahu keinginan itu dicapai mengikut acuan tertentu.

Bagaimanapun, bukan semua anak menurut kehendak atau acuan yang dicanai ibu bapa. Ada anak cuba memenuhi kehendak ibu bapa tetapi bertindak mengikut kemahuan sendiri.

Keadaan itu menjadikan ibu bapa kecewa. Bagaimanapun, bagi pihak anak, mereka mendakwa sudah memenuhi impian keluarga dan mahu memenuhi impian sendiri pula.

Jika mahu berlaku adil kepada anak, ibu bapa perlu berbincang dan mencapai kata sepakat dalam memberi laluan terbaik buat semua.


Antara perkara penting yang perlu dilakukan adalah dengan mendidik anak berdikari. Dalam melaksanakannya ia memerlukan komitmen dan jangka waktu yang agak lama.


Kita perlu matangkan mereka dengan suasana yang baik di samping memainkan peranan sendiri sebagai orang tua bagi membolehkan mereka berdikari.

Matang dalam bertindak dan menimbang baik buruk sesuatu perkara adalah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang anak. Tahan lasak apabila diuji dengan dugaan hidup.

Pastinya ibu bapa tidak mengingini anak yang lembam, malas berusaha, lemah jiwa dan pendek akalnya walaupun sudah dewasa.

Justeru apakah petua membentuk anak bijak merancang, ringan tulang dan kuat jiwanya?

  • Galak anak-anak membantu ibu bapa

    Anak sewajarnya digalakkan membantu ibu bapa dan meringankan tugas di rumah. Ibu bapa perlu menyuruh mereka bukan dengan nada memaksa sebaliknya dengan suara yang lembut. Waktunya pula hendaklah bersesuaian.

    Jika anak sedang mengulang kaji pelajaran, elak meminta mereka menguruskan kerja rumah. Ibu bapa boleh meminta anak perempuan mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk atau menghidang makanan.

    Anak lelaki pula, minta mereka bersihkan halaman atau membasuh kereta. Elak membebankan anak dengan tugas yang berat dan tidak mampu dilakukan.

    Jangan lupa mengucapkan terima kasih di atas pertolongan mereka.


  • Biasakan anak urus diri sendiri

    Anak yang mula memasuki alam persekolahan sewajarnya diajar cara terbaik mengurus diri. Mereka wajar diasuh mengemas bilik tidurnya, berpakaian kemas dan sentiasa kelihatan bersih. Jangan sesekali membiarkan mereka berkeadaan comot, kotor dan selekeh di rumah atau sekolah.


  • Biasakan cara hidup sederhana

    Biasakan anak dengan cara hidup sederhana walaupun kita mampu memberikan kemewahan. Kemewahan akan menyebabkan mereka sentiasa mengharap, malas berusaha dan lemah jiwa. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menggalakkan mereka agar sentiasa berjimat cermat dan menabung wang lebihan belanja harian.


  • Asuh anak suka membantu orang

    Anak kita juga perlu diasuh agar menolong orang yang memerlukan bantuan. Secara tidak langsung, mereka akan dapat memahami sedikit sebanyak hakikat hidup yang tidak selamanya menjanjikan bahagia dan kesenangan. Dengan itu, anak kita akan sentiasa berwaspada dalam hidupnya dan matang menilai dalam menyelesaikan sesuatu masalah.


  • Ajar kemahiran hidup

    Anak juga boleh diajar menjahit, berkebun atau membaiki sebarang kerosakan kecil. Pendidikan sebegini diperkenalkan di semua sekolah. Namun, ibu bapa perlu menggalakkan mereka mengamalkan ilmu yang dimiliki. Awasi kerja mereka untuk mengelak sebarang bahaya.

    Kanak-kanak yang dilatih berdikari akan menjadi orang yang kuat jiwanya dan dapat menyesuaikan diri dengan sebarang keadaan suasana dan tempat. Dia juga yakin dengan kebolehan diri sendiri. Inilah cara membantu anak kita berakhlak mulia.

    Jika latihan itu disertai dengan nasihat secara hikmah, insya-Allah anak kita akan memiliki pekerti dan hati yang baik!
  • 3 ulasan:

    μάγά berkata...

    tips nie pun sungguh bermakna... tapi sememang nya betul.. kiranya didikan sebegini tidak diterapkan dari peringkat awal.. maka kesannya akan dapat dilihat apabila anak itu mulai meningkat besar dan tika anak itu telah remaja dan seterusnya dewasa.

    Brahim Nyior berkata...

    didiklah anak murid dgn penuh hikmah.

    Papa-Itam berkata...

    betul tu cikcu mala...umie sokong sangat ...kita yang mencorakkan anak itu pada asalnya...syabas !!!